Monday, August 3, 2009

Cetusan Madah - Surah Al-Kaafirunn

Salam

Cetusan Madah daripada sahabat di Brunei - Rosidah Jalil.

Terjemahan
1. Katakanlah : “ Hai orang-orang kafir”

2. Aku tidak menyembah Tuhan yang kau sembah

3. Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah

4. Dan aku tidak akan pernah menjadi penyembah Tuhan yang kamu sembah

5. Dan kamu tidak pernah menjadi peyembah Tuhan yang aku sembah

6. Untukmu ugamamu dan untukku agamaku


Cetusan madah:

Surah menyentuh bab aqidah
Tiada kompromi siapa disembah
Tuhan mukmin hanyalah Allah
Diyakini sepenuhnya tiada goyah

Berulang kali penegasan dibuat
Biarlah si kafir rasa meluat
Aqidah mukmin ternyata bulat
Bukannya ia ditangkap muat

Mukmin dan kafir mustahil bersatu
Pemisahnya aqidah sudahlah tentu
Ayat 6 menekankan begitu
Tawar menawar mustahil berlaku
“Untukmu ugamamu dan untukku agamaku”

Disaran bacaan ketika bersolah
Ayat dihayati setiap patah
Hanya Allah hambaMu sembah
SubhanAllah, hatiku terpanah

Panahan cinta Sang Pencipta
Tidak mampu diukir kata
Air jernih bergenang di mata
Menjadi tenang jiwa yang meronta

Perkara syirik dibuang jauh
Keikhlasan hati ditanam teguh
Menjadi teguh iman yang rapuh
Dengan redha ujian ditempuh

Al-Ankabuut:8 mengimbau ingatan
Perkara syirik wajib dijauhkan
Meskipun ibubapa memberi arahan
Diperintah anak menyekutukan Tuhan

Ketegasan wahyu tiada berubah
Penyekutuan Allah wajib disanggah
Tanpa mengira siapa mengarah
Ibubapakah, temankah atau pemerintah
Syirik ditolak, dipertahan aqidah

Al-Ankabuut:8
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan Daku (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.

Tiba-tiba teringat kisah
Kisah dipetik daripada surah
Surah Al-Kahfi di juzk tengah (juzk15)
Cerita pemuda mempertahan akidah

Mereka dipaksa oleh pemerintah
Untuk menukar Tuhan yang disembah
Namun pemuda Kahfi berdiri gagah
Secara lantang ditegak akidah

Al-Kahfi: 14
Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran."

Kata Hati: Aqidah = Kepercayaan yang teguh....


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

No comments:

Post a Comment